
(dipetik daripada : Berita Harian 7 Disember 2006)
PERCAYALAH karya Ruby Hazri menampilkan kisah cinta berlainan bangsa yang berputik di Jerman ketika Nur Atiqah Sulaiman melanjutkan pelajaran di Universiti Stuttgart.
Minggu pertama kedatangannya ke Universiti Stuttgart, mencatatkan kenangan pahit apabila Nur Atiqah hampir dilanggar basikal yang dikayuh oleh Danial Wolfgang Abdul Rahman dan dihambur kata-kata yang tidak difahaminya.
Pada hari suai kenal, Atiqah disuruh duduk di sebelah Danial Wolfgang, mahasiswa berdarah kacukan yang melanggarnya dan dia amat terkejut kerana pemuda itu boleh berbahasa Melayu dengan baik walaupun berwajah Eropah.
Di luar sedar, Atiqah jatuh hati kepada Danial Wolfgang tetapi perhubungan mereka tidak disenangi Alex, Fairuz, Nadia dan Kamisah kerana mereka kurang senang dengan sikpa pemuda itu yang dianggap tidak melambangkan jati diri Melayu.
Danial Wolfgang tertarik kepada Nur Atiqah kerana mengingatkannya kepada arwah ibunya, Sabariah yang dikatakan masih mempunyai saudara mara di Melaka, meskipun pemuda itu tidak pernah mengenali saudara sebelah ibunya itu.
Peristiwa Atiqah diselamatkan Danial Wolfgang daripada ancaman Kamal pada suatu malam di kawasan kampus, menghilangkan rasa malu gadis itu sehingga mencurahkan isi hatinya kepada Danial Wolfgang dan berjanji untuk tidak akan berpisah walau apa pun yang terjadi.
Danial Wolfgang mengambil keputusan mengenalkan Atiqah kepada bapanya, tetapi sebaliknya ditentang hebat, sehingga menimbulkan perselisihan yang membawa kepada kematian Abdul Rahman Wolfgang.
Atiqah tidak menyangka perhubungannya dengan Danial Wolfgang membawa keburukan kepada pemuda itu, tetapi tidak berupaya menolak lantaran kerana kasihnya yang mendalam.
Perjalanan cinta mereka tidak semudah yang disangkakan kerana pengasuh Danial Wolfgang, Chik, wanita Melayu yang banyak menyimpan rahsia keluarga Wolfgang mula mendesak pemuda itu agar mengesan susur galur keturunannya di Malaysia.
Apakah hasrat Danial Wolfgang mengahwini Atiqah akan tercapai dan mengapakah Chik meminta pemuda itu menjejaki keluarga Sabariah di Malaysia, akan diketahui dengan membawa novel terbitan Jemari seni Publishing setebal 595 halaman berharga RM21 senaskah.
* * * *