Aku menoleh sekilas sesusun mangkuk tingkat dengan rasa yang payah nak diungkap. Bekas yang baru diletakkan oleh Ilyas di atas meja studi aku masih belum ada hati untuk aku buka. Tak sampai pun setengah jam tadi ia diletakkan di situ. Pesanan yang disampaikan Ilyas tadi bersama kiriman mangkuk tingkat ini kian membuatkan duduk aku tidak senang. Aku sekadar membantu. Salahkah? Dan terus terang, aku tidak pernah berniat melebihi daripada sepatutnya.
"Untung kau ye, Ju... sekarang makan minum kau pun rasanya dah 'ada yang sudi jaga'." Kias bahasa Ilyas saat meninggalkan titipan tersebut buat aku.
Frasa 'ada yang sudi jaga' jelas lah mengheret gelodak perasaan aku dengan perkara yang bukan-bukan. Sekali difikirkan, aku rasa ingin kembalikan bekas ini semula kepada si pengirimnya. Tapi wajarkah pula?
"Tak payah banyak fikir, Ju... makan ajelah apa yang dah orang kasi tu. Sementara orang tengah nak buat budi,.. sambil tambah pahala untuk akhirat tu, kenapa nak tolak pula." Sela Hisyam seraya mengerling Ilyas di sebelah tadi. Barangkali Hisyam kurang menyenangi perkataan Ilyas.
"Emak saudara Azean tu ikhlaslah, Ju... hari tu dia tak sempat nak titipkan apa-apa. Entah-entah hari ini,.. masa aku, Ilyas dan Zainal pergi sana, dia kenal pula. Azean tanyakan kau. Aku cakaplah kau sibuk. Itulah dia kirimkan nasi ini untuk kau," terang Hisyam sedikit panjang.
Aku diam sejenak. Iyelah apa yang perlu aku risaukan sangat. Orang nak berbudi, kenapa pula aku harus menolak. Cakap-cakap Ilyas tak sepatutnya aku lekatkan dalam kepala. Makin menyerabutkan otak ada lah.
Aku lalu membuka satu demi satu ikatan susunan mangkuk tingkat yang empat biji itu. Aku lihat isi dalamnya satu persatu. Sambal tempoyak pucuk paku, sambal udang dan ikan cencaru sumbat. Kemudian semangkuk nasi yang masih aku rasa hangat bekasnya. Alamak, menyelerakan!
Tengok Ilyas, kalau aku dengar cakap kau... tolak rezekilah perut aku! Rungut hati aku tiba-tiba. "Ilyas ini tak pandai sungguh nak mengata. Rezeki macam ni punya sedap kau nak api-apikan aku. Tak reti sungguh nak mengena. Perut aku tak kenyang lah dengan perkataan kau tu, Ilyas," sungut aku membebel sendirian.
Aku berpusing ke belakang mencari camca dan garpu dari dalam kole yang terletak di atas meja Hisyam. Demikian sebiji pinggan plastik dari dalam laci meja, aku bawa keluar.
"Perut aku hanya kenyang dengan benda-benda macam ni je lah Ilyas." Tak habis-habis mulut aku membebel akan Ilyas. Lauk punya sedap macam ni, tak perlu tunggu Ju... seru hati aku lagi sekali.
Nasi dalam mangkuk aku sendukkan ke dalam pinggan plastik di depanku. Selera yang datang dah payah nak aku tolak ke tepi. Dengan lafaz bismillah, sesuap nasi berlaukkan secubit ikan cencaru sudah selamat masuk ke mulut aku. Alhamdulillah...
Sedang enak aku menjamu selera sambil meratah ikan cencaru tiba-tiba pintu bilik tergopoh-gapah ditolak dari luar. Terjengul wajah Ishak di muka pintu. Tersendak aku dibuatnya. Tanpa salam tanpa ketukan lebih dulu, Ishak nampak macam kena kejar dengan hantu.
"Owh, maaf Ju... aku ingatkan tak ada sesiapa." Tercungap-cungap nafas Ishak menagih kemaafan aku. Aku senyum menoleh wajahnya yang kelihatan cemas.
"Baru makan Ju?" soal Ishak hairan seakan-akan cuba menyembunyikan gelisah riak wajahnya.
"Dah makan sebenarnya tadi kat kantin... tapi sayanglah nasi lauk sedap ni. Hisyam bawa balik. Jadi makan yang kedualah tengah hari ni aku." Ishak ketawa.
"Kau tak de discussion ke dengan Syam dan semua-semua tu?" soal Ishak seperti hafal rancangan perbincangan kami malam tadi sambil membuka laci dan mengeluarkan sampul perang bersaiz F4.
Memanglah aku dan Hisyam juga Ilyas dan Wan Zainal ada merancang begitu. Tapi pagi tadi aku teringat nak siapkan karangan Bahasa Malaysia yang diberikan Cikgu Rohani minggu lepas. Jadi aku ke perpustakaan. Hisyam, Ilyas dan Wan Zainal, habis separuh perbincangan tadi pergi makan di gerai emak saudara Azean. Dan mereka sedang sambung kembali sekarang. Aku pun sekejap-sekejap lagi lepas habis makan ini akan join mereka juga.
"Aku siapkan essay Cikgu Rohani kat library tadi. Kejap-kejap lagi aku pergi lah kat bilik discussion. Hah... yang kau ni macam kena kejar puntianak, kenapa? Tak de latihan bola ke petang ni?" Ishak memang nampak berlainan petang ini. Entah tersampuk dengan apa pula dia.
Ishak memang dikenali ramai sebagai pemain pertahanan pasukan bola sepak sekolah yang berbakat besar. Dia terpilih mewakili sekolah dalam sukan ini sejak di tingkatan empat lagi. Kejohanan persahabatan merebut Piala Akmar Aziz yang berlangsung sekali setahun, sekolah kami belum pernah gagal menempah diri ke peringkat akhir. Satu-satu sekolah yang sering menjadi saingan MCKK untuk menjulang piala ini. Kerana itulah kejohanan itu amat penting buat Ishak dan pasukan bola sepak serta sekolah ini.
"Err... latihan tunda petang esok. Tak ada apa-apa... teringatkan buku Hamdan ni. Nak pulangkan lah ni," tergagap-gagap Ishak menjelaskan. Dia menahan nafas kut. Telah fikiran aku. Aku mengangguk cuba memahami sekalipun aku sebenarnya tak faham maksud Ishak itu.
Buku? Aku mengintai balik belakang badan, sampul surat perang yang dipegang Ishak. Kenapa pula harus dibubuh dalam sampul? Bibir bawah ku menjuih. Malaslah aku nak mengusul periksa dia. Cubitan terakhir ikan cencaru aku suapkan ke mulut.
"Kejap lagi kau join discussion dengan Hisyam ek?" tanya Ishak sambil mengelek sampul tadi sebelum keluar semula. Aku angguk mengiakan.
Dalam fikiran aku rasa nak mengutuk pulak... Ishak ini ada masalah pendengaran ke, hingga kena ulang tanya pula? Okay, Ju... stop! Tak usah mengata orang depan rezeki tu. Nasihat hati aku.